Pengenalan
Khat atau lebih dikenali sebagai
kesenian kaligrafi Arab merupakan sebahagian warisan seni khat yang diwarisi
sejak zaman awal Islam. ia merupakan sebahagian daripada elemen penting
ketamadunan Islam kerana ia berperanan dalam penulisan mushaf Al-Qur'an,
senibina dan hiasan. Perkataan Khat berasal daripada kalimah Arab yang
bermaksud "garisan" yang maksudnya menurut istilah adalah
garisan-garisan yang bersambung membentuk perkataan Arab yang sistematik dan
tersusun.
Sejarah Khat
 |
Khat Nabati |
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah memiliki sistem tulisan yang dipengaruhi oleh skrip Nabataean, Aramaic dan Syriac. Tulisan ini bersifat ringkas dan digunakan dalam inskripsi batu serta dokumen perdagangan. Bukti arkeologi menunjukkan bahawa tulisan ini berkembang di Semenanjung Arab sebelum Islam. Beberapa inskripsi awal, seperti yang ditemui di Petra dan Madain Saleh, membuktikan bahawa masyarakat Arab telah mempunyai sistem penulisan yang mantap sebelum kedatangan Islam (Healey, 1990).
Pada zaman awal Islam, tulisan Arab semakin berkembang dengan penyusunan al-Quran. Tulisan Hijazi dan kemudiannya Kufi menjadi gaya utama kerana strukturnya yang tegap dan mudah diukir pada batu serta ditulis pada manuskrip awal. Khalifah Uthman bin Affan memainkan peranan penting dalam mengkodifikasikan al-Quran dalam satu bentuk tulisan yang seragam bagi memastikan keseragaman bacaan. Tulisan ini kemudian digunakan secara meluas dalam penyalinan al-Quran serta dokumen rasmi kerajaan Umayyah dan Abbasiyah (Déroche, 1992). |
Khat Kufi Qadim |
Pada zaman pemerintahan Abbasiyah (750-1258 M), seni khat mengalami revolusi besar dengan kemunculan pelbagai gaya baharu seperti Naskh, Thuluth dan Muhaqqaq. Ibn Muqlah dan Ibn al-Bawwab adalah antara tokoh utama yang memperkenalkan prinsip proporsi dalam seni khat, yang dikenali sebagai "al-Khatt al-Mansub". Selain digunakan dalam penulisan manuskrip, seni khat juga diaplikasikan dalam seni bina masjid, istana, serta syiling emas dan perak kerajaan Abbasiyah (Safadi, 1978). |
Karya Khat Thuluth & Nasakh Khattat Hafiz Osman |
Pada era Uthmaniyah (1299-1922 M), seni khat mencapai kemuncak keindahannya dengan pengenalan gaya Diwani, Riq'ah, dan Ta'liq. Sultan-sultan Uthmaniyah sangat menitikberatkan seni khat dan menggalakkan penulisan manuskrip serta dekorasi masjid dengan khat yang indah. Di istana Topkapi, banyak manuskrip dan dokumen rasmi ditulis dalam gaya Diwani yang unik dan dihiasi dengan iluminasi emas. Shaykh Hamdullah dan Hafiz Osman merupakan antara kaligrafer terkenal pada zaman ini yang menyempurnakan seni khat (Güzel, 2004). |
Khat Kufi pada Mihrab Masjid Cordoba, Sepanyol |
Di Andalusia dan Maghribi, seni khat berkembang dengan ciri khas tersendiri, seperti Khat Maghribi yang mempunyai bentuk melengkung dan lebih bebas berbanding dengan gaya Timur Tengah. Pengaruh ini dapat dilihat pada manuskrip al-Quran serta seni bina seperti Alhambra di Granada. Pada zaman pemerintahan Islam di Sepanyol, terutama pada era kerajaan Umayyah Cordoba, seni khat digunakan secara meluas dalam inskripsi masjid, dokumen pentadbiran, dan syiling kerajaan (Bloom, 2001). |
Syair Rumi menggunakan Khat Nastaliq |
Di wilayah Parsi, gaya Nasta'liq menjadi dominan dan dianggap sebagai salah satu bentuk khat yang paling elegan. Mir Ali Tabrizi dikenali sebagai pencipta gaya ini pada abad ke-14, dan seni ini digunakan secara meluas dalam penulisan puisi Parsi serta manuskrip diraja. Sementara itu, di India, seni khat berkembang pesat semasa pemerintahan Mughal dengan penggunaan luas seni Khat dengan pengaruh Parsi dalam seni bina seperti Taj Mahal, Fatehpur Sikri, dan manuskrip kerajaan. Maharaja Akbar, Shah Jahan dan Aurangzeb sangat menitikberatkan seni khat dan menggalakkan perkembangannya dalam pelbagai aspek budaya Mughal (Roxburgh, 2005).Seni khat telah berkembang melalui pelbagai zaman dan wilayah dengan gaya yang berbeza-beza. Ia bukan sahaja menjadi medium komunikasi tetapi juga warisan budaya Islam yang terus dipelihara sehingga kini. Kemajuan dalam seni khat memperlihatkan bagaimana keindahan tulisan dapat menyampaikan nilai estetika dan spiritual dalam peradaban Islam. Seni khat juga menjadi simbol kuasa dan keagungan sesebuah kerajaan Islam melalui penggunaannya dalam dokumen rasmi, seni bina, dan syiling kerajaan.
Khat Nasakh
Latar Belakang
 |
Contoh Khat Nasakh |
Khat Nasakh dipercayai berkembang daripada tulisan Arab asli yang berasal dari Khat Arami dan Nabatean, yang kemudiannya dikenali sebagai Khat Hijazi sebelum kebangkitan dakwah Nabi Muhammad SAW (Nik Yusri, 2017). Perkembangan awalnya bermula sekitar abad ke-3 dan ke-4 Hijrah, apabila seorang menteri Khilafah Abbasiyah, Ali bin Muqlah (272-328H), memperhalusi bentuk tulisan ini dan memperkenalkan kaedah penulisannya (Firdaus Mahadi, n.d.). Beliau menamakan hasil karyanya sebagai Al-Badi', tetapi lama-kelamaan ia lebih dikenali sebagai Khat Nasakh kerana digunakan secara meluas dalam penyalinan manuskrip (Jainal Sakiban, 2000). Pada zaman pemerintahan Seljuk dan Atabegs sekitar tahun 545H, Khat Nasakh mengalami proses pengindahan yang menjadikannya lebih halus dan mudah dibaca (Nik Yusri, 2017). Transformasi ini menyebabkan ia dikenali sebagai Khat Nasakh Atabegs (Firdaus Mahadi, n.d.). Berbanding Khat Kufi yang lebih kaku dan bersudut, Khat Nasakh lebih fleksibel dan mudah dibaca, menjadikannya lebih sesuai untuk penulisan manuskrip panjang, terutamanya al-Quran (Utusan Malaysia, 2020).
 |
Khat Nasakh karya Sheikh Hamdullah |
Pada zaman pemerintahan Uthmaniyah (1299–1922), khat Nasakh berkembang dengan pesat dan mengalami pembaharuan dari segi bentuk serta penggunaannya dalam pelbagai dokumen rasmi dan kesenian Islam (Al-Faruqi, 1986). Zaman Uthmaniyah menyaksikan kemajuan pesat dalam seni khat, termasuk khat Nasakh yang menjadi tulisan utama dalam penulisan mushaf al-Quran. Tokoh terkenal seperti Sheikh Hamdullah (1436–1520) dianggap sebagai pelopor dalam memperhalusi dan memperkemaskan bentuk khat Nasakh agar lebih mudah dibaca dan estetik. Beliau memperkenalkan ciri-ciri seperti keseimbangan huruf, kadar lengkungan yang lebih harmoni, dan susunan tulisan yang lebih tersusun (Bayani, 1999). |
Khat Muhaqqaq dan Nasakhtulisan Hafiz Osman |
Selain Sheikh Hamdullah, terdapat tokoh lain yang turut memainkan peranan penting dalam perkembangan khat Nasakh seperti Hafiz Osman (1642–1698). Hafiz Osman terkenal dengan inovasi dalam penulisan Nasakh yang lebih anggun dan berstruktur, menjadikannya sebagai model utama dalam penulisan mushaf rasmi kerajaan Uthmaniyah. Gaya penulisannya memberikan impak besar terhadap generasi seterusnya dalam bidang kaligrafi Islam (Derman, 2000).Pada abad ke-16, dengan perkembangan teknologi percetakan di dunia Islam, khat Nasakh mula digunakan secara meluas dalam pencetakan kitab dan al-Quran. Kejelasan dan kebolehbacaan khat Nasakh menjadikannya pilihan utama dalam percetakan, menggantikan gaya tulisan lain yang lebih sukar untuk dibaca dalam jumlah yang banyak. Perkembangan ini membolehkan penyebaran ilmu dan kitab agama secara lebih meluas dalam dunia Islam (Blair, 2006).
 |
Mushaf Madinah |
Sehingga hari ini, khat Nasakh masih menjadi gaya utama dalam penulisan al-Quran, buku akademik, dan bahan bercetak lain dalam dunia Islam. Pengaruh penulisan dari zaman Uthmaniyah masih dapat dilihat dalam mushaf yang diterbitkan di Turki, Mesir, dan Arab Saudi. Perkembangan teknologi digital juga menyaksikan adaptasi khat Nasakh dalam jenis huruf (font) yang digunakan dalam perisian komputer dan penerbitan moden (Safadi, 1979).
Ciri-ciri
 |
Karya Hafiz Osman |
Salah satu ciri utama khat Nasakh pada zaman Uthmaniyah ialah kejelasan dan kebolehbacaan hurufnya. Huruf-huruf dalam tulisan ini direka agar mudah dikenali dan dibaca dengan cepat, menjadikannya sesuai untuk penulisan al-Quran dan kitab ilmiah. Ciri ini diperhalusi oleh tokoh seperti Sheikh Hamdullah yang menyusun bentuk huruf dengan lebih kemas dan sistematik (Derman, 2000).
Berbanding dengan jenis tulisan lain seperti khat Kufi yang lebih kaku, khat Nasakh mempunyai bentuk huruf yang lebih bulat dan halus. Huruf-huruf seperti "ba", "ta", dan "ya" ditulis dengan lengkungan yang lembut, menjadikan tulisan lebih estetik dan menarik. Penggunaan bentuk bulat ini memberikan kesan visual yang lebih mudah dikenali dan meningkatkan daya tarikan seni tulisan tersebut (Al-Faruqi, 1986).
Satu lagi ciri penting khat Nasakh ialah kedudukan huruf yang konsisten pada garis penulisan. Tulisan ini mempunyai kestabilan dalam ketinggian huruf dan jarak antara perkataan, yang memudahkan pembacaan dan meningkatkan daya serapan teks. Konsistensi ini menjadikan khat Nasakh sebagai pilihan utama dalam percetakan mushaf al-Quran dan buku akademik pada zaman Uthmaniyah (Safadi, 1979).
Kaedah Huruf
Khat Riq'ah
Latar Belakang
 |
Contoh Khat Riq'ah |
Khat Riq'ah merupakan salah satu gaya Khat Arab yang berkembang pesat pada zaman Uthmaniyah (1299–1922). Ia terkenal dengan kesederhanaan dan kemudahan penggunaannya, menjadikannya sebagai salah satu tulisan yang paling banyak digunakan dalam dokumen rasmi, dan nota harian. Perkembangannya pada era Uthmaniyah berkait rapat dengan keperluan kerajaan untuk gaya tulisan yang pantas dan mudah dibaca (Blair, 2006). Khat Riq'ah dipercayai berasal daripada khat Nasakh dan Thuluth, tetapi dengan bentuk yang lebih ringkas dan cepat untuk ditulis. Ia mula dikembangkan secara rasmi pada abad ke-18 oleh penulis dan Khattat Uthmaniyah bagi menggantikan bentuk tulisan yang lebih kompleks dalam dokumen pentadbiran. Khat ini menjadi popular kerana hurufnya yang kecil, bersambung, dan mudah dibaca tanpa hiasan tambahan yang berlebihan (Derman, 2000).
 |
Lagu Istiklal Marsi di dalam Khat Riq'ah |
Tokoh-tokoh kaligrafi Uthmaniyah memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan dan menyempurnakan bentuk khat Riq'ah. Antara tokoh terkenal ialah Mumtaz Efendi dan Mehmed Izzet Efendi, yang dikreditkan sebagai penyusun peraturan moden bagi penulisan Riq'ah. Mereka memperkenalkan sistem tulisan yang lebih seragam, dengan kaedah penyusunan huruf yang lebih cekap untuk dokumen rasmi dan surat menyurat (Bayani, 1999). Dalam pentadbiran Uthmaniyah, khat Riq'ah digunakan secara meluas dalam surat rasmi, arahan kerajaan, dan catatan harian pegawai.
Selain itu, ia juga menjadi tulisan utama dalam pendidikan asas di sekolah-sekolah kerana kemudahannya untuk diajar dan dipelajari. Berbeza dengan khat lain yang sering digunakan dalam seni kaligrafi, Riq'ah lebih bersifat praktikal dan fungsional (Safadi, 1979). Selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyah, khat Riq'ah terus digunakan secara meluas di dunia Arab dan Islam. Sehingga kini, ia kekal sebagai tulisan utama dalam tulisan tangan di banyak negara Timur Tengah dan digunakan dalam dokumen rasmi serta pendidikan. Perkembangan teknologi digital juga menyaksikan kewujudan font Riq'ah yang digunakan dalam aplikasi penulisan moden (Blair, 2006).
Ciri-ciri
Dalam khat Riq’ah, kebanyakan huruf ditulis dengan garis lurus dan mempunyai sedikit sahaja lengkungan. Ini berbeza dengan khat Naskh yang lebih berbentuk bulat dan terbuka. Sudut-sudut tajam pada huruf seperti ‘kaf’ dan ‘lam’ memberikan ciri khas yang membezakan khat ini daripada jenis tulisan lain (Mahmood, 2020).
Satu lagi ciri penting dalam khat Riq’ah ialah ketinggian huruf yang hampir sama. Huruf-huruf seperti ‘alif’, ‘lam’, dan ‘ta’ tidak terlalu tinggi berbanding huruf-huruf lain, yang menyebabkan keseluruhan tulisan kelihatan lebih seimbang dan padat. Hal ini memudahkan pembacaan dan menjadikan tulisan lebih kemas (Ibrahim, 2016).
Dalam kebanyakan penulisan khat Riq’ah, harakat jarang digunakan kecuali dalam konteks keagamaan atau pendidikan. Ini kerana tulisan ini lebih difokuskan kepada kelajuan dan kemudahan dalam membaca, di mana pembaca yang berpengalaman tidak memerlukan harakat untuk memahami teks dengan baik (Ali, 2017).
Kaedah Huruf

KesimpulanKhat Nasakh dan Riq'ah merupakan dua gaya tulisan yang mempunyai peranan penting dalam sejarah seni Islam, khususnya pada zaman Uthmaniyah. Khat Nasakh dengan kejelasannya telah menjadi standard dalam penulisan mushaf al-Quran dan kitab ilmiah, manakala khat Riq'ah yang lebih ringkas dan pantas ditulis telah digunakan secara meluas dalam pentadbiran dan komunikasi harian. Kedua-duanya mencerminkan keperluan masyarakat Islam pada zaman itu yang menekankan aspek estetika serta fungsi dalam penulisan. Hingga kini, kedua-dua khat ini terus digunakan dalam pelbagai bidang, menunjukkan betapa besarnya warisan seni khat Uthmaniyah dalam perkembangan tulisan Arab moden.
Rujukan
Firdaus Mahadi. (n.d.). Khat Nasakh.
Jainal Sakiban. (2000). Khat Nasakh dalam Pertandingan.
Nik Yusri Musa, Ilham Che Daud @ Zakaria, Nazri Muslim, & Jamsari Alias. (2017). Sejarah perkembangan seni khat dan pengaruhnya terhadap tulisan Jawi di Nusantara. MALIM: Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara, 18, 30-42.
Utusan Malaysia. (2020, Ogos 11). Sejarah khat dalam al-Quran.
Ali, M. (2017). The Art of Arabic Calligraphy. Cairo: Al-Azhar Publications.Al-Faruqi, I. (2018). Islamic Calligraphy and Its Influence. London: Oxford Press.Hussain, A. (2015). Ottoman Calligraphy: A Historical Perspective. Istanbul: Ottoman Heritage Foundation.
Ibrahim, R. (2016). Typography in the Middle East. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahmood, T. (2020). The Evolution of Arabic Scripts. Beirut: Lebanon Calligraphy Institute.
Bayani, M. (1999). The Art of Calligraphy in the Islamic World. Saqi Books.
Blair, S. (2006). Islamic Calligraphy. Edinburgh University Press.Derman, U. (2000). Letters in Gold: Ottoman Calligraphy from the Sakıp Sabancı Collection, Istanbul. The Metropolitan Museum of Art.
Safadi, Y. (1979). Islamic Calligraphy. Thames & Hudson.